KENYATAAN AKHBAR

3 April 2020

WANITA, PROFESIONALISME DAN DORAEMON SEWAKTU WABAK COVID-19

Negara Malaysia kini sedang berada dalam fasa memerangi pandemik COVID-19. Kakitangan kesihatan, polis, tentera dan perkhidmatan lain masih terus berkhidmat memastikan kesejahteraan rakyat Malaysia meskipun menghadapi kekangan pelbagai sumber. Kebanyakan mereka yang sedang berjuang adalah dari kalangan kaum wanita. Mereka berkhidmat tanpa mengira kos dan risiko terhadap diri mereka. Perjuangan mereka tidak kurang kehebatannya sama seperti jururawat-jururawat atau pakar-pakar yang lain yang berada dibarisan hadapan, dalam wadah perjuangan yang sama. Ada juga kaum wanita yang menyumbang kudrat mereka dengan ‘Working From Home (WFH)’, sejajar dengan Perintah Kawalan Pergerakan (MCO).

Maka, adalah amat mengecewakan apabila Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KPWKM), dalam Pengumuman Perkhidmatan Awam (PSA) di bawah #WanitaCegahCOVID19, telah memilih untuk mengabaikan sumbangan kaum wanita, dan merendah-rendahkan martabat kaum wanita kepada suri rumah yang lemah dan patuh.

Pertama, pesanan agar wanita tidak memakai 'pakaian rumah', tetapi menggalakkan mereka bersolek penuh sementara Bekerja Dari Rumah (WFH), menghantar mesej bahawa penonjolan estetika adalah lebih berharga daripada nilai kendiri. Kedua, sikap mengabaikan tuntuan sumbangan kerja rumah daripada pasangan, menggambarkan bahawa wanita hanya perlu berkelakuan lemah supaya dapat ‘diselamatkan’ oleh pasangan masing-masing. Ketiga adalah mesej menggalakkan komunikasi dengan nada suara manja diikuti gelak ketawa ala-ala ‘Doraemon’. Bagi negara yang bercita-cita untuk mencapai status negara maju, ini menggambarkan betapa ironinya kaum wanitanya dipaksa merendahkan jati diri mereka selaku watak kartun. Permohonan maaf dari Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat (KPWKM), yang diikuti unsur-unsur merendahkan martabat wanita juga gagal untuk memperbetulkan stereotaip yang berterusan terhadap peranan wanita.

Nilai seorang wanita tidak terletak kepada pemberian khidmat seperti seorang hamba, malah bukan terbatas kepada penonjolan luaran sahaja. Didalam alam perkahwinan, tanggungjawab harus dikongsi oleh semua anggota keluarga, dan bukan oleh satu pihak. Sikap hormat- menghormati dan bertanggungjawab adalah paksi kepimpinan, baik dalam organisasi mahupun di rumah. Penindasan hak-hak bersuara dan mengekang kecerdasan minda akan menghalang perkembangan sahsiah dan peribadi seseorang.

Penggunaan persona anime adalah amat tidak sesuai dalam usaha memartabatkan peranan wanita. Namun saranan menyidai pakaian bersama-sama sambil berwatak anime untuk mencapai kelangsungan rumah-tangga adalah bagaikan satu jenaka. Nasihat remeh sedemikian adalah tidak sepatutnya dari sebuah Kementerian yang bertujuan menyokong dan memperjuangkan hak-hak wanita. Secara kolektif sebagai sebuah negara, kita seharusnya memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih penting, seperti memerangi pandemik COVID- 19. Kementerian sebaliknya, harus membantu keluarga yang miskin menghadapi PKP, mempertahankan wanita daripada penderaan domestik, atau menyokong mereka yang terpisah dari keluarga mereka dalam memberi perkhidmatan kepada negara. Kaum wanita di Malaysia, terutamanya mereka yang menceburi bidang yang dikuasai oleh lelaki, menghadapi diskriminasi dan situasi buli dalam pelbagai bentuk. Ramai yang pasrah dengan situasi mereka, ramai yang tidak berani berkata benar dan ramai juga yang menurut perintah kerana takut tindakan ke atas diri mereka. Peraturan untuk membendung dan mengawal gegala ini amat kurang di Malaysia. Sebagai sebuah Kementerian di mana perkataan Wanita pada namanya, kami mengharapkan suatu yang lebih baik.

Kejadian ini merupakan peluang yang tidak ternilai untuk mendidik setiap individu samada lelaki mahupun wanita, tentang betapa pentingnya menitik beratkan pengisian maklumat yang hendak disampaikan. Kegagalan memahami amanah dan tanggungjawab yang diberikan, menyebabkan pihak bertanggungjawab sering memberi pendapat sepintas lalu tanpa memikirkan natijahnya, walaupun berniat baik. Dalam pada ini, semua orang mempunyai peranan untuk menghapuskan stereotaip toksik terhadap kaum wanita. Kami amat menggalakkan Kementerian untuk menjiwai visi, misi dan aspirasi asal Kementerian untuk menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara maju.

Ditandatangani:

Akademi Perubatan Malaysia (Profesor Dr Rosmawati Mohamed, Master)
Kolej Pakar Anestesiologi (Dato Dr Jahizah Hassan, Presiden)
Kolej Pakar Pergigian (Profesor Dato’ Dr Lian Chin Boon, Presiden)
Kolej Pakar Kecemasan (Dr Ridzuan Dato’ Mohd Isa, Presiden)
Kolej Pakar Obstetrik dan Ginekologi (Dr Michael Samy, Presiden)
Kolej Pakar Oftalmologi (Dr Nur Fariza Ngah, Presiden)
Kolej Pakar Pediatrik (Profesor Dr Thong Meow Keong, Presiden)
Kolej Pakar Patologi (Profesor Dr Cheong Soon Keng, Presiden)
Kolej Pakar Perubatan (Dr Letchuman Ramanathan, Presiden)
Kolej Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman, Presiden)
Kolej Pakar Radiologi (Dr Amir Fuad Hussain, Presiden)
Kolej Pakar Bedah (Profesor Dr April Camilla Roslani, Presiden)