| General Information
Kanser Payudara
(abstracted from http://www.radiologymalaysia.org)
Kempen Kesedaran Kanser Payudara
2002!
Tahun ini, Kolej Radiologi akan bekerjasama dengan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan
Wanita Malaysia untuk meneruskan perjuangan menyebarkan maklumat, serta membolehi lebih
ramai orang, terutamanya wanita untuk menjalankan pemeriksaan sendiri payudara.
Sepanjang tahun 2002, kelas Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) akan diadakan di
pusat-pusat tertentu di Pulau Pinang, Lembah Kelang/Selangor, Kelantan, Pahang dan Sabah.
Kelainan Payudara Yang Tidak
Merbahaya (Benign Breast Conditions)
Anda mungkin pernah ataupun mempunyai simptom-simptom tersebut
- Adakah anda merasa ketulan, benjolan ataupun kawasan yang
keras di payudara anda?
- Adakah payudara anda berasa sakit ataupun terasa sakit
bila disentuh (sensitif)?
- Adakah kesakitan payudara (mastalgia) menjadi lebih kuat
apabila anda kedatangan haid?
- Adakah kesakitan itu berterusan dan tidak mengikuti
kitaran haid?
- Adakah anda perlu memakan ubat untuk menghilangkan rasa
sakit payudara?
- Adakah kelainan payudara anda menjejaskan perhubungan anda
dengan suami anda?
Jika jawapan anda 'ya' bagi mana-mana
soalan di atas, maka anda mungkin mengidap keadaan yang dikenali sebagai kelainan payudara
yang tidak merbahaya (benign). Keadaan ini juga dikenali sebagai penyakit payudara
fibrocystic, mammary dysplasia, penyakit payudara tidak merbahaya (benign) atau sistik
mastitis kronic.
Payudara Anda
Payudara adalah kelenjar yang terdiri daripada banyak saluran (ducts) yang
dikelilingi oleh lobus (lobes) tisu-tisu kelenjar dan tisu lemak. Peranan utamanya ialah
membuat dan mengeluarkan susu. Payudara dipengaruhi oleh hormon seks wanita yang
dikeluarkan oleh ovari. Hormon-hormon inilah yang menyebabkan payudara membesar dan
berubah mengikut kitaran haid dan juga keadaan mengandung.
Oleh kerana jumlah hormon-hormon ini berubah semasa kitaran haid, ramai wanita akan merasa
perubahan pada payudara mereka.
Berapa kerapkah kelainan payudara tidak merbahaya ini berlaku?
Doktor mendapati ramai pesakit mengalami keadaan payudara ini. Kebanyakan wanita mempunyai
struktur tisu yang membolehkan keadaan ini berlaku. Oleh itu, ini merupakan penyakit yang
paling kerap menimpa payudara!
Apakah kelainan payudara yang tidak merbahaya?
Kelainan ini adalah penyakit bukan kanser (barah) yang boleh terjadi pada
sebelah atau kedua-dua belah payudara. Ia selalunya dikenali dengan adanya ketulan ataupun
ketulan berisi cecair (cyst) ataupun sista.
Ia boleh terjadi di satu bahagian payudara atau melibatkan keseluruhan payudara. Ia boleh
menimbul sebagai satu atau banyak ketulan berisi cecair. Ketulan ini mungkin terasa sakit
atau hanya terasa sakit apabila disentuh. Ia juga mungkin hilang terus untuk seketika dan
timbul semula kemudiannya.
Perubahan hormon akan menyebabkan kelainan payudara berubah-ubah, terutama perubahan yang
berkaitan dengan kitaran haid. Kelainan ini boleh terjadi di semua peringkat umur selepas
kehadiran haid tetapi ia lebih kerap di antara umur 30 tahun dan umur tamat datang haid
(menopause).
Kelainan ini akan menjadi lebih teruk dengan meningkatnya umur, di mana pengeluaran hormon
dari ovari telah mencapai tahap maksima untuk beberapa tahun. Ia akan berkurangan selepas
putus haid dan kebanyakan kelainan payudara akan hilang dalam masa 1 atau 2 tahun kecuali
jika wanita tersebut mendapat rawatan estrogen tambahan. Sesetengah wanita akan mengidap
ketulan berisi cecair sehingga tua, walau apapun rawatan diberikan.
Apa yang menyebabkan kelainan ini?
Mengapa penyakit ini terjadi masih belum diketahui, tetapi keadaan ini dipercayai
disebabkan oleh ketidakseimbangnya hormon seks wanita. Ia tidak akan terjadi sebelum umur
mula datang haid dan akan berkurangan selepas umur tamat haid (menopause).
Bagaimana saya tahu bahawa saya mengidapinya?
Kelainan ini selalunya dikenali semasa wanita berjumpa doktor untuk pemeriksaan atau
semasa cuba mendapat rawatan kerana kesakitan atau terasa sakit apabila disentuh atau
ketulan pada payudara yang dirasai semasa melakukan pemeriksaan payudara sendiri.
Dalam keadaan ini doktor anda akan melakukan beberapa ujian atau merujuk anda ke doktor
pakar. Ujian-ujian ini termasuk ujian radiologi seperti mamogram atau X Ray payudara dan
ultrasound. Satu lagi ujian ialah menyedut keluar cecair dari ketulan tersebut untuk
pemeriksaan makmal dengan mengunakan jarum. Doktor pakar mungkin akan melakukan satu
pembedahan kecil yang dipanggil biopsi di mana tisu dari ketulan akan diambil untuk
diperiksa. Kalaulah ketulan anda sangat besar ataupun menunjukkan ciri-ciri yang
meragukan, doktor pakar mungkin melakukan pembedahan untuk mengeluarkan ketulan tersebut.
Sekiranya keputusan ujian tidak menunjukkan kanser, doktor anda akan memberitahu anda
berita baik ini dan memberi nasihat seterusnya. Anda harus bertenang semasa menunggu
keputusan pemeriksaan ini. Ia merupakan perkara yang biasa, kalaulah anda dinasihati untuk
menjumpai doktor anda tiap tahun atau beberapa bulan sekali. Ini bergantung kepada
keputusan patologi yang diterima dan simptom yang anda mengalami walaupun diagnosanya
bukanlah barah/kanser.
Apakah rawatannya?
Sekiranya kesakitan tidak keterlaluan, atau hanya datang untuk beberapa hari dalam
sebulan, kebanyakan doktor akan mencadangkan cara mudah untuk merawatnya. Gunakanlah coli
yang baik dan memakai pakaian yang tidak ketat.
Anda juga mungkin akan dinasihatkan agar mengurangkan pengambilan kopi, teh dan 'cola' di
mana kandungan kaffein boleh memburukkan keadaan. Kawal juga kandungan gula dalam makanan
anda. Jika kesakitan payudara (mastalgia) berterusan, anda mungkin akan diberi ubat
mengurangkan cecair di badan (Diuretic) atau ubat penahan sakit.
Rawatan tersebut di atas hanya dapat mengurangkan rasa sakit untuk sementara
waktu.
Apabila kesakitan payudara menjadi lebih kuat sehingga menyekat aktiviti fisikal anda
(berlari, menari atau senaman lain), rawatan yang lebih khusus mungkin diperlukan. Rawatan
ini termasuklah memakan ubat yang telah biasa digunakan untuk memberi kesan jangka panjang
menghilangkan rasa sakit pada keadaan kelainan ini. Ubat ini akan mengurangkan pengeluaran
hormon di mana ia akan memberi peluang payudara anda berehat.
Rumusan
Kelainan payudara yang tidak merbahaya adalah merupakan keadaan bukan kanser payudara yang
paling kerap. Ia menyebabkan payudara berasa sakit atau terasa sakit bila disentuh.
Kelainannya boleh berubah-ubah dari bulan ke bulan kerana keadaannya dipengaruhi oleh
perubahan kadar hormon wanita.
Ia biasanya dikesan semasa payudara diperiksa sendiri dan kemudian dipastikan dengan ujian
perubatan. Kita bernasib baik kerana keadaan atau simptom ini boleh dihilangkan ataupun
dikurangi dengan rawatan doktor. Kesakitan boleh hilang ataupun dilegakan.
Kalau ketulan cecair yang terdapat di payudara anda tidak mempunyai simptom dan anda tidak
terasa apa-apa kesakitan, kemungkinan besar, ini tidak memerlukan apa-apa rawatan tetapi
anda akan dinasihati untuk membuat pemeriksaan semula pada waktu yang ditetapkan oleh
doktor anda.
Jadi jika anda ragu-ragu samaada anda mengidapi keadaan ini, sila berjumpa doktor anda.
Bertanyalah tentang rawatan dan ubat yang boleh membantu. Walaubagaimanapun, bertenang.
Anda akan rasa lebih selesa apabila mengetahui bahawa ini adalah keadaan yang tidak
merbahayakan. Anda tidak keseorangan kerana agak ramai wanita juga mempunyai kelainan
payudara yang tidak merbahaya ini! |